Sunday, 4 December 2011

Jasad pelajar Malaysia diterbang pulang esok

JAKARTA: Jasad Theven Adrian Joseph, pelajar Malaysia dari universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur, akan diterbangkan pulang ke tanah air petang esok dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya.

Atase Pendidikan Education Malaysia (EM) di Indonesia, Ludinata Misnun, berkata jasad pelajar itu akan dihantar pulang dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH872 yang dijadual berlepas pada 6.55 petang dan dijangka tiba di KLIA pada 10.30 malam.
Beliau berkata, mayat Theven Adrian diserahkan kepada pihak keluarga di Graha Medika, Universiti Brawijaya petang ini.
"Pihak keluarga menolak untuk dilakukan bedah siasat dan pihak hospital hanya menyatakan kematian beliau sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Theven Adrian meninggal dunia pada kira-kira 8 malam tadi di Hospital Islam Dinoyo, Malang.

Sebelum itu, pelajar berkenaan yang dipercayai mengalami kekejangan dan serangan sawan, dikejarkan ke hospital dan diberi bantuan bantuan CPR serta bantuan penafasan melalui mesin tetapi beliau tidak dapat diselamatkan.

Theven Adrian, 20, penuntut tahun satu Fakulti Perubatan Universiti Brawijaya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, adalah pelajar Malaysia yang kedua dari universiti itu yang meninggal dunia dalam masa tidak sampai sebulan ini.
Pada 7 November lalu, pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira, juga penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang, maut selepas ditetak dengan senjata tajam dilehernya oleh seorang penyerang ketika cuba menghalang lelaki itu daripada mencuri motosikalnya di bandar Malang.

Pihak polis masih menyiasat kes pembunuhan itu.

Seramai 161 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Brawijaya, daripada sejumlah 173 pelajar Malaysia yang belajar di institusi pengajian tinggi di Malang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment